Bagi individu yang sering berdengkur semasa tidur ia diibaratkan seperti menyanyi dengan nada sumbang yang menganggu tidur orang lain, itulah antara perumpamaan digunakan oleh mereka yang terganggu dek dengkuran tersebut.
FAKTA MENGENAI BERDENGKUR
Persoalannya, adakah anda sering mengalami dengkuran ketika tidur pada waktu malam? Keadaan tersebut menyebabkan waktu tidur terganggu akibat selalu terjaga secara mengejut dan kadang-kadang mengalami sesak nafas.Tambahan, situasi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada anda, malahan ahli keluarga terdekat juga turut terganggu dengan bunyi dengkuran tersebut kerana bunyinya yang kuat dan adakalanya membingitkan telinga yang mendengar.
Jika anda sedang mengalami situasi seperti di atas kemungkinan anda mengalami Obstructive Sleep Apne (OSA).
Bagi kanak-kanak pula, dengkuran disebabkan hidung tersumbat atau alahan, bengkak pada tonsil dan adenoid (daging berlebihan seperti tonsil di belakang hidung).
Berdasarkan kajian, sebanyak 80 peratus individu yang menghidap masalah ini tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit tersebut dan menyebabkan tiada sebarang tindakan dilakukan untuk merawatnya.
Menurut pakar perubatan, tidur berdengkur berlaku apabila laluan udara dari hidung dan mulut ke bahagian paru-paru tersekat . Ia merupakan gangguan tidur biasa yang dialami oleh individu menyebabkan pernafasan mereka terhenti seketika ketika sedang tidur beberapa saat.
Bagaimanapun, masalah tidur berdengkur tidak seharusnya dipandang ringan kerana jika berlarutan, ia petanda seseorang itu terdedah penyakit berbahaya seperti darah tinggi, sakit jantung dan diabetes.
Dianggarkan di Malaysia, sebanyak tiga juta orang mungkin menghidap masalah dengkuran tetapi kebanyakan mereka tidak menyedari masalah ini. Walaupun dianggap perkara lumrah terutama dalam kalangan lelaki dengan purata seorang daripada enam orang menghidapnya, tetapi masalah itu tidak seharusnya dipandang ringan oleh wanita kerana mereka juga terdedah dengan perkara ini.
Dianggarkan seorang daripada sepuluh orang wanita menghadapi masalah ini dan kebanyakan daripada mereka berada dalam lingkungan umur pertengahan.
Jika berlarutan tanpa mendapatkan rawatan yang selanjutnya mereka terdedah kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti tekanan, sakit jantung, strok, kegagalan fungsi jantung dan kemurungan.
Kualiti tidur setiap hari sangat penting bagi seseorang individu kerana waktu tidur yang baik akan memudahkan rutin harian di siang hari.
Tidur yang baik akan mempengaruhi kesan kepada kesihatan seseorang dalam jangka masa panjang termasuk dalam aspek pertumbuhan sel badan, metabolisme, keseimbangan tenaga dalam badan, fungsi sistem imun dan juga proses perkembangan serta pembelajaran minda.
Malangnya, sebahagian masyarakat Malaysia tidak menghargai waktu tidur mereka di malam hari. Sebaliknya masa emas itu mereka lebih gemar gunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen sehingga lewat malam, melayari internet dan berjumpa dengan rakan-rakan untuk berkongsi cerita.
Kajian yang dilakukan juga menunjukkan sejak 40 tahun lalu masyarakat di dunia telah mengalami perubahan dari segi waktu tidur yang semakin berkurangan dari satu hingga dua jam. Daripada jumlah tersebut juga sebanyak satu pertiga daripada orang dewasa mempunyai waktu tidur yang tidak baik iaitu kurang daripada enam hingga tujuh jam.
Tambahnya, individu yang dikesan kurang waktu tidur dan dalam masa yang sama mempunyai masalah OSA berhadapan dengan impak yang bahaya kepada diri dan masyarakat.
Kesan gangguan tidur yang jika tidak mendapatkan rawatan pada peringkat awal akan menyebabkan berlaku insiden yang membahayakan keselamatan diri dan menyebabkan antaranya meningkatkan 10 peratus kemalangan melibatkan motosikal, lebih 50 peratus terlibat dengan kemalangan di tempat kerja, dan 20 peratus juruterbang melakukan kesalahan serius melibatkan pesawat kerana tertidur.
Mereka yang mengalami gangguan tidur ini juga adalah dalam kalangan pekerja yang bekerja secara shif, gemar menonton television sehingga lewat malam, kesan pengambilan ubat-ubatan dan masalah ketagihan ubatan.
KESAN BURUK DAN BAHAYA TIDUR BERDENGKUR
- Selalu terjaga secara mengejut ketika tidur
- Sesak nafas tiba-tiba
- Menganggu tidur pasangan dan keluarga masing-masing
- Terdedah kepada penyakit berbahaya seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung
- Bahaya kepada masyarakat - potensi untuk terlibat kemalangan kerana kekurangan tidur
KESIMPULAN - Pastikan anda mendapatkan rawatan yang cepat sekiranya anda mempunyai masalah berdengkur semasa tidur. Hal ini bukan sahaja menganggu orang sekeliling anda semasa tidur tetapi turut memberi kesan buruk kepada kehidupan seharian anda.
Jangan bertangguh lagi. Berusahalah dan berikhtiarlah secepat mungkin.
TAGS :
Post a Comment
Diharap anda sudi meninggalkan komen dan pendapat yang jujur selepas membaca artikel-artikel di dalam blog ini. Komen anda amat bermakna untuk pihak kami bagi penambahbaikkan pada masa hadapan.
Terima Kasih.