Penerangan Penuh Mengenai Hukum Ta'zir

HUKUMAN BAGI KESALAHAN TA'ZIR

Apabila kita faham dan kenal barulah kita ada rasa kasih dan sayang. Apabila ada rasa kasih dan sayang barulah ada keinginan untuk mengikuti dan melaksanakan.

Kita tidak memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hukum Allah, apabila bercakap sahaja tentang hukum ini, kita asyik bercakap tentang mencuri hukumnya potong tangan. Betul, mencuri hukumnya potong tangan, tetapi kita tidak menceritakan mencuri yang bagaimana, berapa kadar curinya, nilai barang yang dicuri, kadar potong tangan, kaedah pembuktian, dan saksinya bagaimana? Itu semua kita tidak tahu, yang kita tahu hanyalah mencuri hukumnya potong tangan.

Bagi yang telah berkahwin dan berzina, umum mengetahui hukumannya adalah rejam sampai mati. Namun bagaimana kaedah merejam? Siapa yang sanggup merejam? Kalau pada zaman Nabi SAW, orang yang dihukum akan tanam separuh badan dan dibaling dengan batu. Sekarang ini siapakah yang sanggup membaling batu dekat orang sampai mati?

Kerana itulah kita perlu membincangkan kaedah perlaksanaannya. Yang banyak dibincangkan pada hari ini adalah tentang hukuman itu sendiri. Kita tidak ceritakan kepada orang ramai tentang keindahan hukum ini, jadi bagaimana orang ramai hendak menerimanya?

APAKAH SEBENARNYA HUKUM TA'ZIR?

"..Ta’zir adalah salah satu hukum daripada hukum-hukum Allah. Ta’zir adalah satu undang-undang yang Allah SWT berikan keistimewaan kepada pemimpin atau pemerintah Islam yang sah untuk berhukum dengannya, bergantung kepada keperluan dan kemaslahatan..." [ sumber ]

"..Ta'zir dari segi bahasa bererti menolak atau menghalang. Dari segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam al-quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaaannya tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu..." [ sumber ]

Saya bawakan contoh judi. Judi Allah hina di dalam Al-Quran, Nabi SAW hina di dalam hadis. Bahkan di dalam mana-mana agama lain, semua mengkritik dan mengutuk kaki-kaki judi. Tetapi di dalam Al-Quran dan hadis sendiri tidak dinyatakan perlaksanaan hukuman tertentu ke atas kaki judi. Maka ia bergantung kepada pemerintah. Kalau pemerintah melihat dalam negaranya mungkin hanya 1% yang bermain judi, mungkin hukuman yang diberi tidak terlalu berat. Tetapi kalau dalam satu negara, 80% adalah kaki judi, dia mungkin akan meletakkan hukuman yang berat.

Contoh lain adalah rasuah. Nabi SAW menyebut di dalam hadis,
    لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ فِي الْحُكْمِ

    Ertinya: “Allah melaknat orang yang merasuah dan penerima rasuah dalam hukum.” (riwayat Ahmad dan lainnya)

Tetapi wujudkah hukuman tertentu yang Allah tetapkan bagi orang yang terlibat dalam rasuah? Tidak, Nabi pun tidak pernah menyebutnya. Jadi hukuman yang tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul seperti ini tidak boleh dikatakan hukum hudud, ia kembali kepada ta’zir, kembali kepada kecerdikan pemimpin untuk menentukan kadar hukuman sesuai dengan keperluan.

Sebab itu kalau kita lihat dalam sebuah negara luar, ada yang mencadangkan sampai rasuah dikenakan hukuman bunuh. Kalau kadar rasuah sangat membimbangkan, pelaksanaan hukuman rasuah yang berat perlu dilaksanakan. Sebab itu keluarlah satu kaedah yang ulama sebut,
 التصرف على الرعية منوط بالمصلحة
    Ertinya : “Tindakan pemerintah ke atas rakyat bergantung kepada kemaslahatan.”

Contoh lain adalah money laundering. Duit yang didapatkan dari aktiviti haram di luar sana yang hendak dibawa masuk ke negara kita tidak dibolehkan. Kemudian ia masuk secara haram dan ditangkap. Adakah apabila hukuman ini tidak dinyatakan di dalam Al-Quran, maka pesalah dilepaskan?

Judi dalam bola sepak, tidak ada di dalam Al-Quran dan hadis. Perniagaan menjual manusia, pendatang asing tanpa izin dan sebagainya, perkara seperti ini apabila tiada hukumannya di dalam Al-Quran maka ianya dipindahkan kepada kebijaksanaan pemimpin untuk menentukan hukuman, inilah yang dinamakan ta’zir.

KESALAHAN YANG TERMASUK DI BAWAH KATEGORI TA'ZIR

Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori ta'zir ialah sebagaimana berikut:
  •     Kesalahan-kesalahan hudud dan qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud dan qisas.
  •     Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab, lesbian dan sebagainya.
  •     Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat,berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.

HUKUMAN BAGI KESALAHAN TA'ZIR

Hukuman ta'zir diserahkan kepada budi bicara hakim supaya hukuman tersebut memberi pengajaran supaya penjenayah serik untuk melakukan semula. Antara hukuman-hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah sebagaimana berikut:

a.   Nasihat
Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.

b.   Teguran
Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha memperbaiki dirinya.

c.   Ancaman
Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.

d.   Pemulauan
Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersepit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.

e.   Pengisytiharan Umum
Membuat pengistiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah supaya penjenayah berasa malu dan tertekan.

f.    Denda dan merampas harta
Mengenakan denda dalam bentuk wang dan sebagainya atau merampas harta bendanya.

g.   Penjara
Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut realiti semasa.

h.   Sebat
 Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu.

 i.     Buang daerah
 Mengenakan hukuman buang daerah supaya pesalah rasa tertekan, mengalami kesukaran, kesusahan dan terpisah dari kaum keluarga

j.     Bunuh
Dibenarkan oleh syara' bagi menjaga kemaslahatan awam jika difikirkan sesuai



KESIMPULAN - Sebab itu kita katakan kepada teman-teman kita tidak kira Muslim atau non-Muslim, kita tanyakan, tahu atau tidak tentang hukum ini? Jika tidak tahu, jangan pandai-pandai menolak, menghina, atau menyindir hukum ini. Datanglah kepada kami untuk kami ceritakan tentangnya.

TAGS :

Apa Itu Hukum Ta'zir, Ta'zir Dalam Islam, Hukuman Ta'zir, Hukuman Daripada Allah, Hukuman Terhadap Kesalahan Ta'zir, Jenis-jenis Jenayah Ta'zir, Hukuman Cara Islam, Hukum Jenayah Islam, Pengertian Ta'zir, Hukuman Ta'zir Khalwat, Hukuman Ta'zir Rasuah, Hukuman Ta'zir Berjudi, Hukuman Ta'zir Hubungan Sejenis, Hukuman Ta'zir Penyalahgunaan Dadah, Hukuman Ta'zir Duit Haram

Post a Comment

Diharap anda sudi meninggalkan komen dan pendapat yang jujur selepas membaca artikel-artikel di dalam blog ini. Komen anda amat bermakna untuk pihak kami bagi penambahbaikkan pada masa hadapan.

Terima Kasih.

[blogger][facebook]

1001 Petua

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget