Apabila kita faham dan kenal barulah kita ada rasa kasih dan sayang. Apabila ada rasa kasih dan sayang barulah ada keinginan untuk mengikuti dan melaksanakan.
Kita tidak memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hukum Allah, apabila bercakap sahaja tentang hukum ini, kita asyik bercakap tentang mencuri hukumnya potong tangan. Betul, mencuri hukumnya potong tangan, tetapi kita tidak menceritakan mencuri yang bagaimana, berapa kadar curinya, nilai barang yang dicuri, kadar potong tangan, kaedah pembuktian, dan saksinya bagaimana? Itu semua kita tidak tahu, yang kita tahu hanyalah mencuri hukumnya potong tangan.
Bagi yang telah berkahwin dan berzina, umum mengetahui hukumannya adalah rejam sampai mati. Namun bagaimana kaedah merejam? Siapa yang sanggup merejam? Kalau pada zaman Nabi SAW, orang yang dihukum akan tanam separuh badan dan dibaling dengan batu. Sekarang ini siapakah yang sanggup membaling batu dekat orang sampai mati?
Kerana itulah kita perlu membincangkan kaedah perlaksanaannya. Yang banyak dibincangkan pada hari ini adalah tentang hukuman itu sendiri. Kita tidak ceritakan kepada orang ramai tentang keindahan hukum ini, jadi bagaimana orang ramai hendak menerimanya?
APAKAH SEBENARNYA HUKUM QISAS?
Qisas merupakan hukum Allah, yakni hukum balas balik. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran,وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ
ERTINYA: Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (Taurat) bahawasanya nyawa (dibalas) dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada qishashnya.” (surah Al-Maidah, 5 :45)
Hukuman ini bukan dilaksanakan oleh orang yang disakiti. Ia dilaksanakan oleh pemerintah. Jika diberi kepada orang yang disakiti membalasnya, mungkin dia akan membalas secara berlebihan.
Pernah berlaku di Saudi, bergaduh dua orang Arab daripada Mesir. Seorang daripada mereka menyimbah asid ke muka kawannya sehingga matanya jatuh dan buta sebelah. Jadi untuk melaksanakan hukum qisas, mahkamah memanggil kedua belah pihak, dan setelah cukup pembuktian, cukup saksi dan sabit kesalahan, mahkamah bertanya dahulu kepada orang yang buta matanya, adakah dia mahu memaafkan pelakunya.
Lelaki yang buta matanya berkata dia ingin memaafkan tetapi kabilahnya tidak mahu memaafkan, dibimbangi jika lelaki ini pulang ke Mesir, kabilahnya akan membunuhnya. Maka dilaksanakan hukum qisas ke atas lelaki ini.
Ini kerana hukum qisas merupakan hukuman yang Allah berikan pilihan kepada mangsa sama ada mahu membalas balik atau memaafkan.
Bagaimana kaedah pelaksanaannya? Bukan mencungkil mata si pesalah. Bukan dengan mengambil benda tajam dan menikam matanya, bukan dengan menuang balik asid ke wajahnya. Tidak. Tetapi si pesalah dibawa ke hospital dan doktor yang akan membuat pembedahan dan mengeluarkan matanya. Begitulah kaedah hukum balas balik, dan hukuman hanya dilaksanakan melalui kaedah-kaedah pembuktian, bukan sesuka hati.
Di internet pernah tersebar video pencuri skrap getah ditangkap dan dibelasah habis-habisan oleh penduduk kampung, dipukul, diterajang dan sehingga dilekatkan kaki pencuri kepada ekzos motor yang panas. Adakah ini yang Islam kehendaki? Berapa ramai peragut yang ditangkap oleh orang awam dan dibelasah sehingga lembik dan patang tulang? Adakah itu hukum yang Islam kehendaki.
Pernah ditangkap di negeri sebelah utara pasangan berzina di mana lelaki itu berzina dengan isteri orang. Ditangkap dan dipukulnya sehingga mati. Sedangkan hukum Islam bagi orang yang belum berkahwin adalah disebat. Ini yang kita cuba fahamkan tentang hukum Islam. Hukum Islam bukan sekadar tangkap dan balun, tangkap dan potong tangan. Sebab itu kata Allah di dalam Al-QuraN. [ sumber ]
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
ERTINYA: “Dan dalam qisas itu adalah kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berfikir, supaya kamu bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 179)
Seorang tokoh ulama terkenal, Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin ditanya tentang ayat ini, bagaimana qisas dikatakan kehidupan sedangkan orang yang membunuh dibalas balik dengan hukum bunuh, maka ramailah yang akan mati. Jadi mengapa Allah sebutkan di dalam Al-Quran, di dalam qisas itu ada kehidupan?
Kata Syaikh, sesungguhnya indahnya bahasa Al-Quran, indahnya hukuman Allah SWT,
"..apabila pesalah yang cukup syarat, cukup bukti, cukup saksi itu dibunuh, ia akan mengurangkan kadar jenayah kerana dua perkara; pertama – si pembunuh telah tiada, kedua – orang lain takut untuk membunuh. Sebab itulah ia boleh mencambahkan dan memperbanyakkan kehidupan..."
JENIS-JENIS JENAYAH QISAS
Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah:- Membunuh dengan sengaja (Dengan niat membunuh dan dengan senjata yang boleh membunuh pada adatnya).
- Menghilangkan atau mencederakan anggota tubuh badan dengan sengaja seperti mata, hidung, telinga dan sebagainya.
- Melukakan orang lain dengan sengaja.
HUKUMAN TERHADAP KESALAHAN QISAS
Mengikut Hukum Islam, qisas hendaklah dilakukan terhadap penjenayah dengan hukuman yang sama seperti mana dia melakukan kepada mangsanya. Membunuh dibalas dengan dibunuh, melukakan dibalas dengan dilukakan dan mencederakan dibalas dengan mencederakannya. [ sumber ]KESIMPULAN - Sebab itu kita katakan kepada teman-teman kita tidak kira Muslim atau non-Muslim, kita tanyakan, tahu atau tidak tentang hukum ini? Jika tidak tahu, jangan pandai-pandai menolak, menghina, atau menyindir hukum ini. Datanglah kepada kami untuk kami ceritakan tentangnya.
TAGS :
Post a Comment
Diharap anda sudi meninggalkan komen dan pendapat yang jujur selepas membaca artikel-artikel di dalam blog ini. Komen anda amat bermakna untuk pihak kami bagi penambahbaikkan pada masa hadapan.
Terima Kasih.