Ayat Al-Quran & Hadis Mengenai Iblis Laknatullah

Hadis Mengenai Iblis Laknatullah
Sekadar Gambar Hiasan
Mungkin ramai dikalangan kita yang keliru dan tidak dapat membezakan di antara tiga makhluk Allah S.W.T iaitu Iblis, Syaitan dan Jin. Ada sebahagian daripada kita mungkin menganggap ketiga-tiganya adalah sama saja tidak ada perbezaan.

Untuk membahaskan dengan jelas marilah kita merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. supaya kita lebih mengenali mereka dan dapat menjauhkan diri daripada hasutan dan bisikan makhluk yang jahat ini.

AYAT AL-QURAN & HADIS MENGENAI IBLIS LAKNATULLAH

Iblis menurut bahasa arab berasal dari kata " ablasa – yublisu – ilbisan " yang bererti putus asa, kecewa atau berdukacita. Iblis menurut Al Quran adalah salah satu dari golongan jin yang ingkar terhadap perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam as.

Allah berfirman maksudnya :
”Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Nabi Adam a.s) diwaktu Aku menyuruhmu?” lblis menjawab : ”Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”
(Surah al A’raf ayat 12)

Sedangkan Iblis adalah makhluk derhaka yang jenisnya adalah daripada kalangan jin, bukan jenis manusia. Al-Quran Al-Karim secara tegas menyebutkan bahawa Iblis itu adalah dari jenis jin.

Firman Allah S.W.T. yang maksudnya :
"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam , maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim."
(Surah al-Kahf ayat 50)

Jadi bolehlah disebutkan bahawa Iblis itu adalah makhluk yang sebangsa dengan jin. Dialah dahulu jin yang paling dekat dengan Allah S.W.T, lalu berubah menjadi ingkar lantaran tidak mahu diperintahkan untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. iaitu manusia pertama.

Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat maksudnya :
"Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir".
(Surah al-Baqarah ayat 34)

Motivasi yang menghalangi Iblis itu untuk sujud kepada Adam tidak lain adalah rasa kesombongan dan tinggi diri. Dia merasa dirinya jauh lebih baik dari Nabi Adam.

Allah berfirman maksudnya :
"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud di waktu Aku menyuruhmu?" Jawab Iblis "Saya lebih baik daripadanya : Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah".
( Surah al-A'raf ayat 12 )

Ciri yang paling utama bagi Iblis adalah dia tidak akan mati sehingga tibanya hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah S.W.T
"Iblis menjawab: 'Beri tangguhlah saya sehingga waktu mereka dibangkitkan'. Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh."
(Surah al-A'raf ayat 14-15 )
"Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya ".
(Surah Shaad ayat 79-81 )

Jadi Iblis adalah nama seorang jin yang hidup di masa penciptaan Adam a.s (nama asalnya Azazil dan dipanggil Iblis apabila dia enggan sujud kepada Nabi Adam a.s.)

Dalam Tafsir Ibnu Katsir, dikisahkan bahawa Azazil adalah nama awal Iblis... makhluk yang awal mula menjadikan Adam dan Hawa tergelincir dari jalannya... (Kisah tergelincirnya Adam dan Hawa muncul dalam kitab Al Quran, Taurat dan Injil)

Azazil dikisahkan sebagai makhluk Allah yang paling banyak ibadah serta paling luas pengetahuannya, tafsir at-Tabari juga menyatakan hal yang sama yakni Azazil adalah makhluk yang paling rajin dan berdedikasi, suatu wujud yang dikenal kerana pandangan dan pengajarannya. Ibadah dan pengetahuannya mengalahkan makhluk lainnya termasuk para malaikat.

Hanya saja dalam melaksanakan ibadahnya, Azazil tidak memiliki kesedaran bahawa Allah lah yang memberi kekuatan kepada seorang hamba untuk beribadah kepadaNya. Hal tersebut memunculkan rasa sombong dalam diri Azazil dan yang merasa paling berhak menduduki maqam tertinggi makhluk. Kesombongan itu Azazil memebuatkan ia menolak perintah Allah. Kesombongan yang muncul kerana melihat penciptaan dari api itu lebih baik dan lebih mulia dari tanah liat (sebagai bahan dalam penciptaan Adam a.s).

Dan tatkala Allah menciptakan Adam dari segumpal tanah, lalu Allah memerintahkan seluruh makhluk untuk tunduk menghormati Adam, maka tunduklah segala makhluk menuruti perintah Allah kecuali Azazil. Azazil merasa maruahnya tercabar kerana menyangka dirinya yang dicipta dari api lebih mulia dari Adam yang dicipta dari tanah. Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis.
“Turunlah engkau dari syurga itu (wahai Iblis), kerana engkau tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Maka keluarlah, sesungguhnya engkau termasuk orang-orang yang hina.”
( Surah Al-A’raaf Ayat 13  )

Iblis memohon kepada Allah S.W.T. supaya dipanjangkan umurnya sampai hari kiamat, ternyata Allah S.W.T. menerimanya permintaannya itu kerana ada hikmahnya. Iblis mula membuat strategi bagaimana caranya menjerumuskan Adam. Dia begitu benci dan dendam kepada Adam kerana dia merasa Adamlah yang menyebabkannya dibuang dari syurga. Adam jugalah yang menyebabkannya dirinya menjadi hina. Kononnya disebabkan Adam dia tidak mendapat nikmat lagi dan dijauhkan dari rahmat Allah S.W.T.

Kerana geramnya melihat Adam, dia berjanji kepada Allah akan menggoda dan menyesatkan Adam bersama anak cucunya, sesuai dengan Firman Allah S.W.T. maksudnya :
“Iblis menjawab 'Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalang-halangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur (taat).”
(Surah Al-A’raaf ayat 16-17 )

Iblis telah berkahwin dengan jin perempuan yang menjadi pengikutnya, lalu mereka dianugerahkan keturunan. Keturunan yang berasal Iblis inilah yang disebut syaitan. Iblis mempunyai kerajaan yang besar dan mengandungi menteri-menteri, pemerintahan, dan pejabat-pejabat yang besar.

Iblis boleh wujud menyerupai manusia ketika beliau mendatangi kaum musyrikin dalam bentuk Suraqah bin Malik kala mereka hendak pergi menuju Peperangan Badar. Mereka dapat berubah-ubah dalam bentuk yang banyak, seperti anjing hitam atau juga kucing hitam. Kerana warna hitam itu lebih signifikan bagi kekuatan Iblis atau syaitan dan mempunyai kekuatan panas.

Menurut buku Asy-Syibli meriwayatkan sebuah riwayat dari Zaid bin Mujahid yang mengatakan bahawa,
" Iblis mempunyai lima anak, yang masing-masing diserahkan urusan-urusan tertentu. Kemudian dia memberi nama masing-masing anaknya : Tsabar, Dasim, Al-A'war, Maswath dan Zalnabur. "


KESIMPULAN
Iblis berumur panjang dan dia tidak akan mati sehinggalah hari kiamat. Iblis adalah nenek moyang syaitan yang juga punya keturunan, namun keturunannya itu tidak mendapatkan jaminan untuk hidup sampai kiamat. Dan sebagai bangsa jin, ada diantara keturunannya itu yang mati. Barangkali usianya berbeza dengan rata-rata manusia. Tetapi tetap akan mati juga. Kecuali nenek moyang mereka iaitu Iblis.


TAGS :

Ayat Al-Quran Mengenai Iblis, Hadis Mengenai Iblis, Iblis Menyerupai Kucing Hitam, Iblis Menyerupai Anjing Hitam, Iblis Menyerupai Suraqah bin Malik, Iblis Muncul Dalam Perang Badar, Sifat-sifat Iblis, Keturunan Iblis, Nama Anak-anak Iblis, Kerajaan Pemerintahan Iblis, Siapakah Iblis Sebenarnya, Azazil Nama Asal Iblis, Azazil Adalah Ketua Malaikat

Post a Comment

Diharap anda sudi meninggalkan komen dan pendapat yang jujur selepas membaca artikel-artikel di dalam blog ini. Komen anda amat bermakna untuk pihak kami bagi penambahbaikkan pada masa hadapan.

Terima Kasih.

[blogger][facebook]

1001 Petua

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget